Apple Inc dahulunya dikenali sebagai Apple
Computer Inc ialah sebuah syarikat multinasional yang mencipta alat
elektronik, perisian komputer dan lain-lain yang berkaitan dengan perkomputeran
samada untuk kegunaan peribadi mahupun pelanggan komersil.
Produk
teras Apple Inc adalah terdiri daripada iPhone, alat pemain muzik
iPod dan pelbagai jenis komputer Macintosh. Secara rasminya, Apple
Inc ditubuhkan oleh pengasasnya Steve Jobs dan Steve Wozniak pada 1 April
1976. Produk pertama yang dicipta ialah Apple I. Syarikat diperbadankan
pada tahun 1977. Selama 20 tahun seterusnya, Apple Inc adalah pengeluar
terbesar komputer peribadi termasuk Apple II dan Macintosh dan
rangkaian Power Mac. Walau bagaimanapun ia telah menghadapi gelombang
kemelesetan jualan sekitar tahun 1990-an. Steve Jobs yang telah disisihkan pada
tahun 1985 telah kembali menerajui Apple Inc sebagai Ketua Pegawai
Eksekutif pada tahun 1996 akibat daripada pengambil alihan syarikat beliau yang
bernama NeXT oleh Apple Inc. Apabila dibawah tampuk pimpinan
beliau pada kali ini, beliau mengetengahkan falsafah untuk melahirkan produk
yang dikenali dan rekaan yang mudah.
Pada
tahun 2001, alat pemain muzik yang sangat diminati ramai iPod dikeluarkan.
Kejayaan ini telah melonjakkan nama Apple Inc sebagai pengeluar alat
elektronik konsumer yang teratas. Oleh sebab itu, nama syarikat ditukarkan
daripada Apple Computer Inc kepada Apple Inc. Fenomena terbaru yang
dilakukan Apple Inc ialah apabila ia mengularkan produk seperti iPhone,
iPod Touch, dan yang paling terbaru iPad. Pada waktu ini Apple
Inc adalah syarikat teknologi terbesar di dunia yang mencatat jualan
mencecah AS60 bilion setahun.
Jadi
bagaimanakah Steve Jobs dan pakar-pakar di Apple Inc bekerja sehingga
boleh mencatat suatu kejayaan yang begitu cemerlang samada didunia teknologi
mahupun pencapaian dengan syarikat dalam industri yang lain.
Strategi
pemasaran adalah salah satu perkara yang diambil serius oleh Apple Inc.
Mereka mempunyai strategi pemasaran yang unik dan tidak mahu terikut-ikut
dengan strategi yang sudah baiasa diguna pakai oleh syarikat-syarikat lain. Di
sini ayuh kita bincangkan beberapa strategi pemasaran yang unik yang diaplikasi
oleh Apple Inc. Bukan sahaja Steve Jobs, pihak pengurusan, pakar-pakar
dan jurutera teknologi, dan jurujual sahaja yang mesti memahami strategi
pemasaran Apple Inc, malah pasukan khidmat pelanggan juga dikenakan
syarat supaya sentiasa ingat dan amalkan perkara ini semasa mereka memberi
khidmat kepada pelanggan Apple Inc.
Abaikan
Kritikan
Tindakan
yang agak tidak munasabah tetapi inilah yang diamalkan oleh Apple Inc
apabila mereka mengeluarkan produk mereka. Pada kebiasaanya sebagai seorang
usahawan, anda akan selalu diingatkan oleh orang bahawa untuk berjaya dalam
perniagaan, anda perlu mendengar dan mengambil kira pendapat orang tentang apa
yang mereka mahukan daripada sesuatu produk. Anda mesti bersabar dan melayan
setiap komen yang diberi untuk mengubahsuai produk anda supaya diterima di
pasaran.
Akan
tetapi Steve Jobs tidak menghiraukan perkara ini. Setiap kali berita tentang
pengeluaran produk terbaru oleh Apple Inc, ramai yang akan mengkritik
secara terang-terangan mahupun secara tidak langsung. Mereka akan melemparkan
kata-kata yang boleh melemahkan semangat dan mengatakan bahawa produk tersebut
akan gagal. Perkara ini berlaku semasa Steve Jobs mengumumkan bahawa Apple
Inc akan mengeluarkan iPad yang merupakan produk yang lebih kurang iPhone
tetapi bersaiz besar seperti komputer riba yang kecil. Mereka mengatakan bahawa
produk ini adalah duplikasi kepada iPhone dan tidak berfikir bahawa
sesiapa yang sudah mempunyai iPhone akan membeli iPad.
Tetapi
siapa akan menjangka jualan iPad sebenarnya melonjak dan merekodkan
antara jualan yang tertinggi semasa jika dibandingkan dengan penjualan komputer
riba keecil berjenama lain.
Tukarkan
yang biasa-biasa kepada yang menarik
Setelah
sekian lama, ramai pengguna komputer peribadi gemarkan cara membeli
bahagian-bahagian dan perkakasan komputer mereka secara berasingan dan
memasangnya dengan sendiri untuk menghasilkan sebuat komputer. Oleh kerana
keadaan ini, kebanyakan pengeluar akan mengeluarkan perkakasan untuk dibeli
oleh pengguna tersebut.
Walau
bagaimanapun, Apple Inc tidak mahu menjadi pak turut dan menjual
perkakasan seperti syarikat lain. Apple Inc mempunyai strategi pemasaran
yang lebih bersepadu. Mereka mencipta sesuatu produk yang tidak akan
menyusahkan pelanggan untuk memasang perkakasan sendiri. Apple Inc bukan
sahaja menjadi perintis untuk mengeluarkan sistem operasi yang seragam dan
sistem komputer, mereka juga menjadi perintis untuk mengeluarkan produk dalam
reka bentuk yang sangat menarik dan mesra pelanggan. Lihat sahaja betapa
menariknya reka bentuk MAC air, iPhone , iPod dan
lain-lain. Dikala syarikat-syarikat lain memberi fokus untuk mengeluarkan
pelbagai perkakasan komputer secara berasingan, Apple Inc mengambil
tindakan yang lebih bijak untuk membuat rekaan dan ciptaan secara menyeluruh
bermula daripada perkakasan sehinggalah perisian produk.
Harga
yang wajar
Pada
zaman teknologi sekarang ini, harga menjadi suatu faktor yang penting untuk
difikirkan apabila sesuatu syarikat ingin memasarkan produk mereka. Ramai yang
menganggap jika mereka menjual produk mereka pada harga yang lebih murah
daripada pesaing, pelanggan pasti akan memilih untuk membeli produk keluaran
mereka. Adakah kenyataan ini benar? Adakah strategi yang sedemikian diguna
pakai oleh Apple Inc?
Tidak
sama sekali. Apple Inc percaya kepada strategi yang berlainan. Murah
kadang-kadang boleh melambangkan suatu produk yang kurang berkualiti.
Kebanyakan produk keluaran Apple Inc berharga pada kebiasaanya dua kali
lebih mahal daripada harga produk pesaing. Bagaimana pula produk keluaran Apple
Inc yang lebih mahal boleh menarik pelanggan untuk membelinya.
Jawapan
kepada persoalan ini adalah kerana Apple Inc mencipta produk yang
menarik dan pelanggan bukan sahaja menyukainya tetapi merasa ghairah untuk memilikinya.
Mereka akan rasa sangat cemburu jika kawan mereka terlebih dahulu memiliki
produk Apple Inc. Jawapan seterusnya kenapa pelanggan tetap akan membeli
produk Apple Inc walaupun harganya mahal ialah kerana Apple Inc menetapkan
harga yang wajar bersesuaian dengan ciri-ciri produk serta kepuasan yang
pelanggan akan dapat apabila menggunakan produk keluaran Apple Inc.
Berkomunikasi
dalam bahasa yang pelanggan fahami
Ramai
orang mempunyai perasaan yang kurang yakin atau gementar apabila jurujual
mengajukan soalan yang mereka tidak faham seperti bahasa jargon
teknologi komputer dan telefon mudah alih seperti megabytes, giga hertz,
kuasa pemprosesan dan lain-lain. Keadaan ini akan menyebabkan golongan
pelanggan ini lebih suka memilih produk yang mudah mereka fahami dan senang
untuk dikendalikan.
Apple Inc mengambil langkah untuk
mengketengahkan maklumat yang pelanggan ingin tahu terlebih dahulu sebelum
memberi maklumat yang lebih difahami oleh golongan yang fasih teknologi. Oleh
sebab ini, pelanggan tidak akan merasa tertekan semasa membeli produk keluaran Apple
Inc.
Pengalaman
yang berpanjangan
Pernahkah
anda melihat berapa ramai orang yang merekodkan pengalaman mereka semasa
membuka kotak produk keluaran Apple Inc yang mereka beli? Di YouTube,
terdapat beratus-ratus video yang telah direkodkan sebagai perkongsian
berapa teruja perasaan seseorang setelah memiliki produk keluaran Apple Inc.
Fenomena
ini tidak pula berlaku kepada golongan yang membeli produk elektronik dari
jenama lain. Oleh itu kita dapat lihat bagaimana Apple Inc telah
bertungkus lumus mengusahakan strategi supaya pelanggannya bukan sahaja gembira
disaat membuat pembayaran dikedai tetapi perasaan teruja itu berpanjangan
hingga mereka kembali kerumah, membuka kotak, dan amat tidak sabar sebenarnya
untuk meneroka segala pengalaman yang akan mereka kecapi apabila mengguna
produk keluaran Apple Inc. Pengalaman yang tidak dapat
diungkapkan dengan perkataan sebenarnya!
Apple Inc sedar bahawa apabila
seseorang telah membayar sejumlah wang untuk membeli satu produk, semestinya
pelanggan itu mahu dengan secepat mungkin meneroka dan mengguna produk yang
dibeli. Atas sebab ini, Apple Inc telah memastikan bahawa pelanggan
tidak perlu bersusah payah untuk membuat pemasangan. Mesra pelanggan adalah apa
yang Apple Inc ketengahkan setiap kali produk dicipta.
Apple
mencipta satu kumpulan atau budaya tersendiri
Produk
keluaran Apple Inc dimiliki oleh golongan tertentu. Kita boleh
mengenalpasti golongan yang betul-betul meminati produk keluaran Apple Inc
berbanding golongan yang memiliki produk keluaran jenama lain. Keadaan ini
bukanlah terjadi secara sendiri atau rawak. Pencapaian ini sebenarnya berlaku
oleh kerana Apple Inc mempunyai strategi pemasaran yang unik dan relevan
untuk menyasarkan golongan-golongan tertentu sebagai pelanggannya.
Golongan
yang mementingkan aplikasi dan penggunaan yang mudah akan memilih produk
keluaran Apple Inc. Produk keluaran Apple Inc mempunyai ciri-ciri
yang menarik dan sesetengahnya boleh dijadikan sebagai sesuatu bahan untuk
digayakan. Contohnya, warna yang menarik yang dikeluarkan untuk produk iPod
merupakan strategi untuk menarik golongan anak-anak muda untuk membelinya.
Mereka akan membeli iPod berbanding dengan MP3 atau MP4
yang lain kerana iPod lebih menarik dari segi warna dan saiz.
Jadikan
Apple jenama yang terkenal
Kita
telah biasa dengan sitausi dimana apabila kita mahu membeli ubat gigi seseorang
akan berkata dia mahu membeli colgate bukannya ubat gig. Begitu juga
jika seseorang berkata bahawa dia hendak membeli Ridsect bermaksud dia
sebenarnya hendak membeli ubat nyamuk.
Konsep
dan strategi inilah yang diguna pakai oleh Apple Inc untuk menjadikannya
sebagai satu jenama yang fenomena. Apa yang diusahakan kini adalah untuk
mencapai objektif bahawa seseorang akan berkata saya hendak membeli iPod yang
bermaksud dia sebenarnya hendak membeli alat elektronik MP3.
Mungkin
kita akan fikirkan bahawa situasi ini amat sukar untuk terjadi. Tetapi tidakkah
kita telah merasai sediki demi sedikit usaha yang dibuat oleh Apple Inc
sudah berjaya. Jika anda bertanyakan sekarang kepada seseorang yang menggunakan
iPhone jika dia akan bertukar kepada jenama yang lain seperti NOKIA
dan lain-lain. Rata-rata akan mengatakan tidak. Terdapat ramai pengguna yang
sudah selesa apabila mereka mula menggunakan salah satu produk keluaran Apple
Inc, mereka akan tentunya membeli produk seterusnya yang juga keluaran Apple
Inc.
Untuk
memastikan kesinambungan kejayaan menjadi jenama pilihan, Apple Inc mengambil
langkah untuk mengeluarkan applikasi dalam talian dan luar talian contohnya iTunes
yang merupakan tempat pengguna dapat memuat turun permainan video atau
lain-lain aplikasi samada secara percuma atau dikenakan bayaran yang sangat
kecil. Pengguna tidak dibebani dengan kos dan kemudahan yang diberikan adalah
hanya dihujung jari sahaja.
Bayangkan
bagaimana iPhone yang sebenarnya bukan telefon mudah alih yang pertama
dicipta tetapi dengan strategi dan rekaan yang unik, ramai yang tidak kisah
untuk beratur panjang selama berjam-jam untuk menjadi orang yang terawal
memiliki iPhone terutamanya apabila versi baru dikeluarkan. Ini juga
berlaku kepada produk keluaran Apple Inc yang lain seperti iPod Touch,
iMac dan iPad.
Secara
kesimpulannya, sesebuah syarikat mesti mengambil langkah bijak untuk tidak
mengikut arus persaingan yang sedia ada tetapi sebaliknya cuba untuk menjadi
perintis. Semangat yang tekad dan kerjasama antara pihak pengurusan hinggalah
kumpulan khidmat pelanggan amatlah penting untuk berjaya seperti Apple Inc.