Kekayaan yang dikurniakan oleh Allah
pada setiap orang mempunyai tujuan yang berbeza iaitu samada sebagai
nikmat atau bala. Menjadi nikmat pada mereka yang dipercayai Allah
sebagai wakil-Nya dalam menyebarkan rezeki-Nya. Menjadi bala kepada
mereka yang bangga, sombong, bongkak, bakhil dengan kekayaan-Nya lalu
Allah menambahkan lagi kekayaan mereka agar terus jauh daripada Allah.
Lalu mati nanti dalam kejahilan dan kekafiran.
Sebagai wakil Allah, kita tidak salah
mengejar kekayaan. Namun pastikan tujuannya adalah benar di jalan Allah
agar apa yang kita lakukan diangkat oleh Allah menjadi sebuah ibadah.
Justeru menjadikan diri kita di jalan yang lurus iaitu tergolong dalam
tujuan Allah menjadikan kita untuk beribadah kepadaNya.
Kekayaan itu bukanlah bermakna kita
memiliki harta yang menimbun. Tetapi rezeki kita tidak pernah putus
itulah menandakan kita ini orang kaya. Malah rezeki yang tidak pernah
putus itu membuatkan keperluan kita sentiasa cukup. Jika rezeki tidak putus tetapi tidak
cukup, kita sebenarnya sudah masuk ke ruang kehendak yakni nafsu yang
mempunyai pelbagai citarasa tanpa sempadan.
Rahsia untuk memiliki kekayaan dengan
cepat adalah membetulkan niat awal kita. Niat menjadi kaya adalah untuk
mencukupkan keperluan kita dan kita bersedia untuk menjadi wakil Allah
dalam menyebarkan rezeki kepada yang memerlukan. Jadikan ini MOTIVASI
setiap hari kita dalam mencari rezeki. Dengan menjadi penyebar rezeki, kita
lebih mudah mendapat redha Allah kerana tujuan kita tidak lain hanyalah
untuk mendapatkan redha Ilahi.
PENGAJARAN TERHEBAT
Mari kita membuat sedikit analisis ke atas sahabat Rasulullah yang terhebat ini Saidina Abu Bakar As-Siddiq (r.a.)
Ketika saya membaca kisah Saidina Abu
Bakar As-Siddiq ada pengajaran besar yang hingga kini tetap terus
menjadi dorongan dan semangat dalam hidup saya dalam hal kekayaan.
Semua kita tahu kisah Saidina Abu Bakar
As-Siddiq yang banyak memerdekakan hamba ketika zaman Rasululullah dan
pemerintahan Abu Bakar sendiri. Dianggarkan dalam kisah yang pernah saya
baca, Abu Bakar memerdekakan berbelas-belas hamba. Kebanyakannya adalah
hamba yang diseksa oleh tuan mereka kerana hamba-hamba ini beriman
kepada Allah.
Kita ambil kisah Bilal bin Rabah.
Dikisahkan Abu Bakar As-Siddiq menawarkan berapa jua nilai emas kepada
Umayyah untuk membebaskan Bilal daripada seksaan Umayyah. Apa yang ada dalam fikiran saudara
ketika membaca kisah ini? Abu Bakar meletakkan berapa jua harga pun
kepada Umayyah untuk memerdekakan seorang hamba yang diseksa. Saya
sendiri tidak mampu mengikuti apa yang Abu Bakar tawarkan. Tiada had
harga yang diletakkan oleh Abu Bakar.
Apa makna semua ini? Ini bermakna Abu
Bakar As-Siddiq adalah sahabat Rasulullah yang sangat-sangat-sangat
kaya. Jika hari ini kita bangga dengan kekayaan kita, kita harus berasa
malu.
Sahabat-sahabat Rasulullah yang mungkin
dalam fikiran kita sekadar orang kaya biasa sebenarnya adalah
JUTAWAN-JUTAWAN EMAS ketika zaman mereka. Namun tawaduk dan ketundukan
mereka pada Allah melebihi dari yang lain.
Kita buat sedikit kira-kira secara
anggaran. Dikisahkan Abu Bakar membayar Umayyah untuk memerdekakan Bilal
dengan bayaran sebanyak 9 Uqiyah emas. 1 uqiyah = 31.75gram.
Kita tidak tahu harga emas ketika zaman
Abu Bakar namun Emas pada zaman apa pun ia tetap mempunyai harga yang
tinggi. Mungkin Abu Bakar tidak memiliki harta berjuta tetapi nilai
ratusan ribu ketika itu adalah sama nilai dengan jutaan malah mungkin
billion ketika zaman ini.
Mari kita kira mengikut harga emas zaman
ini agar mudah membandingkan dengan kekayaan yang kita ada. Jika 1
Uqiyah = 31.75gram dan kita ambil harga emas terkini bagi emas yang
paling baik iaitu emas 999 (24 karat), maka 9 uqiyah emas berharga 9
uqiyah x 31.75gram x RM200 = RM57,145.50.
Itulah harga yang dibayar oleh Abu Bakar
untuk memerdekakan seorang hamba. Allahuakbar!!! Mungkin nilainya masih
belum banyak. Dikisahkan dalam sejarah, Abu Bakar membeli
berbelas-belas hamba. Ada yang menyatakan 15,16 dan lain-lain. Mudahnya mari kita kira seandainya 15
orang hamba yang dimerdekakan oleh Abu Bakar dengan nilai yang sama
dengan memerdekakan Bilal, maka 15 orang x RM57,145.50 = RM857,182.50.
Nilai ini hanya untuk satu kebajikan Abu
Bakar iaitu memerdekakan hamba. Belum lagi termasuk dalam sedekah,
zakat dan bantuan yang lain. Allahuakbar. Apakah kita tidak malu
seandainya kita menjadi orang kaya tetapi kita diam menyimpan harta
untuk kegunaan sendiri tanpa menyebarkan kepada yang memerlukan?
ANALOGI MURAH REZEKI
ANALOGI MURAH REZEKI
Konsep mudah dalam soal rezeki adalah ibarat kita mempunyai seorang pekerja yang mempunyai tugas untuk memberikan sedekah kepada yang memerlukan. Kita ini adalah orang yang sangat kaya. Kita berikan kepada pekerja kita sebanyak RM1 juta untuk diagih-agihkan kepada sesiapa yang memerlukan. Pekerja itu boleh mengambil beberapa RM dari jumlah RM1 juta itu untuk keperluannya sahaja. Kita akan menambahkan lagi duit itu seandainya kesemua duit itu telah diagih-agihkan kepada yang memerlukan.
Mari kita tanya beberapa soalan:
Apakah kita akan menambah duit itu jika duit itu BELUM lagi habis diagihkan? Pasti tidak.
Apakah kita akan mempercayai pekerja seperti ini yang tidak menjalankan
tanggungjawab seperti yang kita minta iaitu menyebarkan rezeki? Pasti
tidak.
Apakah kita akan menambahkan lagi nilai yang lebih banyak untuk pekerja ini agih-agihnya kepada yang memerlukan? Pasti tidak.
Akhirnya pasti kita akan mencari pekerja lain yang lebih kita percaya. Inilah analogi dalam soal rezeki.
Seandainya kita mempunyai rezeki namun kita tidak sebarkan rezeki yang
kita ada selain dari keperluan kita, maka rezeki yang ada itulah sahaja
yang kita ada kerana kita tidak menyebarkan rezeki itu.
Allah tidak menambahkan rezeki kita lagi
kerana rezeki yang ada pun kita hanya menyimpannya sahaja. Tidak
disebarkan kepada yang memerlukan kerana tujuan Allah memberikan rezeki
kepada kita adalah untuk keperluan kita dan yang lain untuk diagihkan
kepada yang memerlukan. Nanti ditambahkan lagi rezeki kita oleh
Allah kerana kita menjadi hamba yang dipercayai-Nya dalam menyebarkan
rezeki-Nya. Penambahan rezeki ini pasti lebih banyak daripada sebelumnya
kerana kita sudah menjadi hamba yang dipercayai Allah untuk menyebarkan
rezeki-Nya.
Allah beri peluang kepada kita untuk
mendapat redhanya dengan mudah hanya dengan menjadi penyebar rezeki….
wakil-Nya. Malah amanah ini adalah amanah yang paling bahagia kerana ia
turut melibatkan kepada keperluan kita. Kita boleh ambil beberapa RM
dari rezeki yang banyak disediakan. Kita tiada masalah dengan rezeki
kerana ketika kita memerlukan kita dibenarkan oleh Allah mengambil dari
rezeki yang diamanahkan oleh Allah itu.
Benarlah satu bahagian kita sedekahkan,
kita akan menerima 10 kali ganda balasan atas sedekah kita itu. Dan 10
kali itu tidaklah sama bentuknya dengan apa yang kita sedekahkan. Ia
termasuk rezeki kesihatan, kebahagiaan dan lain-lain selain daripada
bentuk harta dan wang. Jadilah wakil Allah iaitu menyebarkan
rezeki selain daripada keperluan kita. Sentiasalah bertanya pada Allah
agar Allah mengilhamkan kita yang mana satu keperluan dan yang mana satu
kehendak nafsu.
Kekayaan itu bukan terletak pada berapa
banyak yang kita miliki tetapi kekayaan itu adalah kekayaan hati di mana
berapa banyak yang kita sebarkan kepada yang memerlukan. Inilah yang menjadi MOTIVASI kita untuk
berusaha dan berusaha mencari rezeki kerana penyebar rezeki amat mudah
untuk mendapat redha Allah. Namun ia juga mudah memasukkan kita dalam
golongan yang rugi seandainya kita tidak memahami erti sebenar kekayaan.
Sumber : http://www.fuadlatip.com
Sumber : http://www.fuadlatip.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......