Air Asia ditubuhkan pada tahun 1993 dan mula beroperasi pada tahun 1996. Diasaskan pada awalnya oleh syarikat kepunyaan kerajaan iaitu DRB-HICOM. Pada tahun 2001, syarikat yang dibebani dengan hutang yang amat banyak telah diambil alih oleh Tony Fernandes melalui syarikatnya Tune Air Sdn Bhd. Beliau merupakan bekas eksekutif syarikat Tune Warner. Tune Air Sdn Bhd adalah nama yang diguna pakai selepas Tony pengambil alihan pada harga token RM1.00. Sejak diambil alih, Air Asia telah berjaya merekod dan meraih pelbagai anugerah serta bersaing sengit dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain termasuk MAS Berhad. Hanya dalam masa satu tahun sahaja Tony Fernandes telah berjaya menyelesaikan masalah beban hutang syarikat. Beliau telah berjaya membaiki prestasi Air Asia dan merekodkan keuntungan.Hub pertama yang dilancarkan oleh Air Asia ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di hub pertama, Air Asia memperkenal banyak laluan penerbangan yang baru dengan tawaran harga yang amat murah. Hub kedua pula mula beroperasi pada tahun 2003 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang berdekatan dengan Singapura. Laluan luar negara pertama yang dilancarkan oleh Air Asia berjaya melonjakkan namanya di sana. Namun jika cabaran untuk bersaing tidak disahut dengan formula yang bersesuaian untuk berjaya, Air Asia pasti akan kecundang. Tony Fernandes merupakan tokoh yang amat berwibawa dalam menentukan nama Air Asia kekal berjaya di Asia dan mula menempah nama di rantau yang lain.
Secara
amnya, Air Asia berjaya mencatat kejayaan demi kejayaan kerana pihak
pengurusan dibawah pimpinan Tony Fernandes mengamalkan sistem pengurusan kos
yang efektif. Dalam banyak hal, kos yang rendah amat diutamakan. Air Asia
pada awalnya memulakan operasinya dengan kos yang rendah jika dibandingkan
dengan pesaing yang terdekat MAS. Strategi menurunkan kos permulaan perniagaan
ialah dengan membeli kapal terbang terpakai. Kapal terbang terpakai sudah
semestinya berharga lebih murah daripada kapal terbang yang baru. Ini adalah
strategi awal. Setelah syarikat sudah mencatat keuntungan dan mempunyai dana
yang lebih, kapal terbang yang dibeli pada peringkat awal ini diganti dengan
kapal terbang baru secara berperingkat. Selain kos permulaan, kos operasi dan
kos harian seperti gaji kakitangan, bayaran untuk kapal terbang mendarat dan
sebagainya juga dikenal pasti sebagai komponen kos yang perlu diuruskan pada
tahap yang rendah juga.
Bagaimanakah
pula Air Asia berjaya mengurangkan kos penggajian kakitangannya termasuk
juruterbang? Kos juruterbang pada kebiasaannya merupakan salah satu komponen
kos yang paling tinggi yang perlu dibelanjakan oleh pihak syarikat penerbangan.
Pihak pengurusan Air Asia walaubagaimanapun berjaya melakukan yang
sebaliknya. Terdiri daripada kumpulan pengurusan yang sangat bijak untuk
mengambil peluang, Air Asia bertindak ketika syarikat lain mengalami
tempoh perniagaan yang sukar. Banyak syarikat penerbangan lain memecat
juruterbang-juruterbang mereka akibat peristiwa 11 September 2001. Selepas
kejadian tersebut, banyak syarikat penerbangan tidak dapat menanggung kos
operasi kerana ramai orang tidak berani untuk membuat perjalanan menaiki kapal
terbang kecuali segelintir sahaja atas sebab terpaksa atau kecemasan. Banyak
syarikat penerbangan yang lain terpaksa memberhentikan laluan penerbangan yang
tidak memberi keuntungan kepada mereka. Oleh sebab itu, ramai juruterbang
hilang punca pendapatan akibat dibuang atau kurang melakukan penerbangan. Air
Asia mengambil peluang ini dan menawarkan peluang kerja kepada
juruterbang-juruterbang yang telah dipecat ini untuk berkhidmat dengan mereka.
Akan tetapi Air Asia mempunyai kuasa yang lebih pada waktu itu kerana
skim atau pakej penggajian yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah daripada
syarikat penerbangan pesaing. Juruterbang yang terdesak untuk bekerja akan
menerima tawaran Air Asia walaupun pakej penggajian tidak begitu
menarik.
Walaubagaimanapun, Air Asia akan memberi inisiatif dalam bentuk lain kepada kakitangan mereka. Ianya berdasarkan kecemerlangan prestasi kerja berbanding satu pakej yang sama rata. Kos juga dikurangkan dari segi struktur penggajian kerana Air Asia mengamalkan sistem pelbagai tugas untuk satu kakitangan. Seorang kakitangan yang mengendalikan kaunter daftar masuk akan juga menguruskan pelanggan semasa hendak menaiki kapal terbang. Kakitangan ini jugalah yang akan meguruskan lain-lain urusan mengemaskini rekod dan sebagainya. Oleh itu tiada duplikasi kerja dan tiada pembaziran tenaga kerja. Kos berkaitan kakitangan diuruskan dengan sangat berkesan dan efektif. Pihak Air Asia akan memastikan kos dapat dikurangkan selagi ianya tidak melanggar mana-mana syarat atau undang-undang buruh dan sebagainya.
Kos
penjualan tiket merupakan satu lagi komponen kos yang amat dititik beratkan
oleh pihak Air Asia. Di zaman teknologi maklumat yang canggih, hampir
setiap orang terlibat dengan kemajuan internet. Masing-masing teruja dan
menganggap sesiapa yang tidak arif tentang penggunaan internet merupakan
golongan yang tertinggal. Merebut peluang ini, Air Asia mengambil
langkah untuk menawarkan cara pembelian tiket penerbangan melalui internet
secara atas talian. Tindakan ini adalah untuk mengurangkan kos operasi
pengendalian kaunter tiket dan sebagainya. Dengan Air Asia, pelanggan
tidak perlu menelefon atau pergi ke kaunter tiket. Mereka boleh membuat
tempahan secara atas talian. Pelanggan juga sebenarnya tidak dibebani dengan
kos-kos seperti kos pengangkutan untuk ke kaunter tiket dan sebagainya. Oleh
sebab itu, lebih ramai yang menggemari sistem pembelian secara atas talian dan
ini menambahkan jualan dan seterusnya prestasi perniagaan Air Asia.
Mungkin
ramai tidak menyedari bahawa kos untuk menerbangkan sebuah kapal terbang dan
membuat pendaratan di sesebuah lapangan terbang adalah berbeza antara satu
tempat dengan tempat yang lain. Jika syarikat MAS menawarkan laluan penerbangan
dan mendarat kapal terbangnya terus ke Hong Kong, Air Asia pula
menerbangkan kapal terbangnya ke Macau. Kos yang dikenakan untuk penerbangan
dan mendaratkan kapal terbang ke Hong Kong dan Macau sangat berbeza. Jurang kos
yang amat besar. Dengan kos penerbangan dan mendarat kapal terbang yang rendah,
Air Asia dapat menurunkan harga tiket untuk menarik ramai orang membeli
daripada Air Asia. Pelanggan masih boleh ke Hong Kong tetapi berbelanja dengan
lebih jimat.
Penjenamaan
adalah juga merupakan satu komponen yang dititik beratkan oleh Tony Fernandes
untuk membawa Air Asia ke tahap yang tinggi serta mampu bersaing dengan
syarikat penerbangan gergasi yang lain. Air Asia mengamalkan kaedah
kerja yang lebih fokus untuk memberi peluang kepada setiap orang supaya mereka
mampu terbang dengan Air Asia. Ianya bermula dengan misi menawarkan
harga tiket yang amat rendah sehingga RM1.00 untuk menarik perhatian ramai.
Kaedah siapa cepat dia untung adalah prinsip penjualan tiket yang digunakan.
Jika anda membeli tiket untuk penerbangan sebulan dari tarikh pembelian,
kemungkinan besar anda akan dapat membeli tiket pada harga yang lebih rendah
berbanding jika tempoh perjalanan yang lebih dekat dengan tarikh pembelian
tiket.
Kaedah
penjualan tiket yang tidak serata dari segi harga dan sebagainya membolehkan Air
Asia memastikan hampir setiap penerbangan adalah dengan kapasiti penumpang
yang penuh. Produk makanan dan lain-lain pula disediakan kepada sesiapa yang
membuat pembelian sahaja. Dengan cara ini, Air Asia akan hanya membuat
tempahan mengikut pembelian oleh pelanggan. Tiada pembaziran berlaku!
Pengurusan pembaziran yang cekap adalah satu strategi yang bijak untuk
merekodkan kejayaan Air Asia.
Dari segi penjenamaan pula, Tony Fernandes bijak menggunakan pengalaman beliau untuk membuat pemasaran yang strategik dan bekerjasama dengan orang kuat Virgin iaitu Sir Richard Branson. Air Asia X dimulakan hasil kerjasama dengan Virgin. Kesinambungan kerjasama ini dapat dilihat dengan kejayaan Air Asia menawarkan penerbangan ke negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis dan lain-lain. Bermula sebagai jaguh kampung dan menerbangkan pelanggan sekitar destinasi domestik, Air Asia sekali lagi mengambil peluang untuk maju dalam penerbangan ke destinasi di luar negara. Walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk membuahkan hasil, segala usaha yang dibuat untuk penjenamaan adalah atas berkat kesabaran Tony Fernandes.
Masalah
dan rintangan merupakan asam garam dunia perniagaan. Air Asia juga tidak
terkecuali daripada mendapat kritikan daripada banyak pihak apabila pengurusan
jadual penerbangan yang selalu mengalami kelewatan dan sebagainya. Tetapi pihak
pengurusan Air Asia tidak berdiam diri begitu sahaja. Segala kritikan
dan rungutan akan dibawa ke pihak atasan untuk rundingan dan perbincangan
lanjut serta mencari jalan penyelesaian. Penambahbaikan sentiasa diamalkan
sehingga segala rungutan dan kritikan dapat diatasi. Pada waktu ini, setelah
lebih sepuluh tahun beroperasi, Air Asia mampu berdiri tegak dan megah
dengan keupayaan mereka untuk menangani masalah tersebut.
Sabar
adalah asas untuk berjaya walaupun tahap perniagaan anda sudah berada tinggi
seperti Air Asia. Tony Fernades pernah mengeluarkan ucapan bahawa
pihaknya sudah mencuba dan menunggu berthaun-tahun untuk mendapat sesuatu
laluan penerbangan. Mereka tidak berputus asa dan akhirnya berjaya mendapatkan
hak laluan yang mereka inginkan. Begitu juga dengan hasrat Air Asia
untuk membeli satu pasukan bola sepak di United Kingdom. Mereka tidak
berputus asa dan terus mencuba. Rundingan demi rundingan dijalankan dan
akhirnya pada tahun 2011, Air Asia berjaya membeli satu pasukan bola
sepak. Mengapakah langkah ini penting? Ia merupakan salah satu strategi kearah
penjenamaan serta cara untuk syarikat penerbangan ini mengorak langkah untuk
menembusi pasaran di Eropah pula. Apabila jenama Air Asia sudah sebati
dengan peminat pasukan bola tersebut, sekali gus rakyat di United Kingdom akan
mengenali Air Asia sebagai satu jenama yang perlu dipilih. Inilah
peluang keemasan yang Air Asia nantikan!
Air Asia juga menawarkan servis sampingan
yang dirasakan perlu untuk pelanggan-pelanggannya. Air Asia sangat
prihatin terhadap permintaan atau kehendak pelanggan. Tunes Hotel disediakan
untuk mereka yang memerlukan tempat penginapan yang asas semasa mereka dalam
perjalanan. Air Asia menawarkan khidmat penginapan dengan kadar yang
rendah terutama kepada kepada sesiapa yang sudah membeli tiket penerbangan Air
Asia. Satu pakej yang menguntungkan kedua belah pihak.
“The more
you give, the more you will get” adalah pepatah yang diamalkan oleh pihak Air
Asia. Banyak bantuan kewangan yang telah dihulurkan oleh syarikat untuk
mengurangkan bebanan golongan miskin dan sebagainya. Dari segi pertolongan yang
tidak mengeluarkan wang secara terus pula, Air Asia boleh dikatakan agak
aktif untuk menghulurkan bantuan penerbangan bagi membawa pulang rakyat
Malaysia di negara yang ditimpa bencana seperti di Indonesia atau krisis perang
saudara seperti di negara Teluk dan sebagainya. Mereka percaya pulangan
yang akan diperolehi daripada keprihatinan mereka ini akan datang pada
bila-bila masa dan dalam pelbagai bentuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......