WALAUPUN
stres dikatakan ada baiknya, namun jika ia berpanjangan pasti mengundang
kemudaratan. Banyak kajian membuktikan bahawa tekanan minda serta bebanan
tanggung jawab yang banyak dan berterusan mempertingkatkan risiko penyakit dari
aspek kardiovaskular, muskular dan yang paling membimbangkan adalah penyakit
mental.
Kekuatan
mental amat penting malah minda yang sihat mampu menjana tenaga yang maksimum.
Pernahkah anda terfikir mengapa jiwa anda stres dan tidak tenang? Cuba anda
pejamkan mata, tarik nafas dan fikirkan apa yang belum anda lakukan. Mungkinkah
anda kurang memberi, bersedekah atau terlupa menunaikan zakat.
Beberapa
hari lalu seorang pakcik keluar dari pintu bank dengan wajah ceria dan
tersenyum lebar. Saya berkata, "Wah, seronoknya pakcik!". Lantas dia
menjawab, "Mestilah seronok sebab menerima bonus daripada pelaburan
ASB". Ternyata beliau kelihatan sangat gembira. Pasti sudah ada
perancangan tertentu dengan duit yang diperolehi oleh beliau kali ini. Ketika
itu terdetik di hati saya, berapa ramaikah mereka yang menerima habuan daripada
bonus, yang cukup haul dan nisab, terfikir untuk mengeluarkan zakat?
Sebahagian
daripada rezeki yang Allah berikan pada kita itu, ada hak orang lain. Cuma ia
diberikan melalui kita sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang wajib
dilaksanakan.
Bagi
mereka yang biasa berzakat dan pernah merasai nikmat serta kelebihannya, mereka
ini sanggup membelanjakan harta bendanya pada jalan Allah lebih daripada apa
yang dituntut oleh agama. Bagi mereka yang terlupa menunaikan kewajipan ini,
cuba laksanakan, siapa tahu inilah rahsia jiwa tenang yang sebenar.
Antara
hikmah berzakat ialah:Jiwa tenang - Orang yang berzakat jiwanya tenang kerana
dia tidak lagi merasakan yang dirinya berhutang dengan Allah. Ramai orang yang
berduit tetapi hidupnya dalam keadaan yang keluh-kesah. Sentiasa ada sahaja
perkara yang tidak kena dalam hidupnya. Malah tidur malam pun tidak lena. Ke
mana sahaja mereka pergi terasa tidak selamat. Sebab, hati mereka begitu
terikat dengan dunia. Orang yang berzakat tidak pernah mengalami keadaan
sebegitu kerana zakat itu tanda takwa.
Murah
rezeki - Seperti yang telah Allah janjikan, mereka yang mengeluarkan zakat akan
dapati rezeki semakin luas, perniagaan semakin menjadi, pendapatan semakin
lumayan dan rezeki datang dari sumber yang tidak mereka sangkakan.
Jauh
daripada bala dan musibah - Orang yang berzakat sebenarnya telah menyucikan wang
dan hartanya, oleh itu kekayaannya akan dilindungi Allah. Ada ketikanya musibah
dan mudarat yang berlaku itu sebagai kifarat atas dosa atau harta yang bukan
hak kita. Oleh itu, jika ujian datang bertimpa-timpa maka sebelum dicari punca
yang lain semaklah dahulu sama ada zakat sudah ditunaikan atau belum. Jika
belum ditunaikan, maka tunaikanlah, kemudian barulah dikaji punca-punca yang
lainnya.
Tanda
kita bersyukur - Bukan semua orang wajib mengeluarkan zakat. Oleh itu apabila
kita termasuk dalam orang yang wajib berzakat maka bersyukurlah kerana itu
maknanya Allah telah berikan rezeki kepada kita lebih berbanding dengan orang
lain.
Mendapat
kasih sayang manusia dan Allah - Orang kaya yang berzakat disayangi oleh
masyarakat. Sebab wang zakat itu akan diberikan dan dapat dimanfaatkan oleh
golongan asnaf antaranya mereka yang fakir, miskin, mualaf dan sebagainya.
Malah mereka ini akan mendoakan agar orang yang mengeluarkan zakat itu
dimurahkan lagi rezekinya. Zakat menjadi jalan yang mengikat silaturahim antara
golongan kaya dengan mereka yang miskin.
Sumber : http://www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......