Jumaat, 15 Ogos 2014

AnAk AnDa HiPeRaKtIf AtAu AkTiF


Satu hari seorang ibu muda telah menelefon saya. Suaranya kedengaran penuh kerisauan dan mula bercerita akan resah hatinya. Katanya, dia mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun dan sangat aktif. Menurutnya anak itu hiperaktif. Guru kelas juga mengatakan anaknya hiperaktif.

Oleh kerana risau dia telah membawa anaknya berjumpa doktor, yang turut mengesahkan anaknya hiperaktif dan memberi ubat untuk mengurangkan keaktifan anak itu. Saya tertanya dalam hati, mengapa menghubungi saya jika dia telah berjumpa doktor dan disahkan anaknya sebagai hiperaktif.

Ibu muda itu berkata, mengikut doktor, jika ubat itu diambil berterusan akan memberi kesan buruk kepada anaknya. Lagi pun doktor tersebut bukan seorang pakar dalam attention deficit hyperactivity disorder (ADHD).  Dia serba salah, hendak dibiar, anak itu terlalu aktif. Hendak diberi makan ubat, kata doktor ada kesan buruk pada jangka panjang.

Kesian mendengarkan resah hatinya, saya menawarkan diri untuk berjumpa anaknya. Dengan syarat anak itu tidak diberi ubat untuk satu hari sebelum dibawa berjumpa saya. Saya ingin melihat sejauh mana kuatnya hiperakif anak itu. Dipendekkan cerita, hari saya berjumpa anak itu, saya telah menyuruh ibu berkenaan membiar anaknya bermain di sekitar tempat kami berbual. Suami beliau pun ada bersama.

Si ibu dengan penuh prihatin menceritakan perihal anaknya. Sambil mendengar luahan hati si ibu, saya mengikuti pergerakan si anak lelaki itu dengan ekor mata.  Setelah lebih kurang setengah jam bersembang, saya bertanya si ibu adakah dia memberi anaknya makan ubat dalam masa 24 jam sebelum berjumpa saya. Si ibu berkata tidak.

Saya bertanya begitu kerana selama setengah jam di hadapan saya, anak itu adalah seorang anak lelaki yang aktif dan bukan hiperaktif seperti yang dikatakan.  Anak itu cuma aktif, suka bergerak dan bermain lasak seperti mana-mana kanak-kanak lelaki seumur itu. Saya juga melihat anak itu boleh fokus bermain sesuatu mainan. Anak matanya boleh fokus melihat sesuatu.

Lalu saya bertanya mengapa si ibu mengatakan dia seorang hiperaktif? Mengikut beliau, anak perempuannya, iaitu anaknya yang kedua, boleh duduk diam dan tidak melompat ke sana ke mari seperti anak lelakinya. Mendengar penjelasannya, saya lalu mengambil tangannya dan berkata: "Puan, anak lelaki sememangnya lebih aktif daripada anak perempuan. Lagi satu kemungkinan anak ini juga belajar dengan cara melakukan dan bergerak, iaitu modaliti pembelajarannya ialah kinesthetik. Apa yang saya lihat anak ini bukan hiperaktif, dia cuma aktif dan banyak tenaga."

Dia kemudian bertanya, perlukah diteruskan pengambilan ubat tersebut? Saya beritahunya: "Pilihan itu di tangan puan dan suami. Jika benar anak ini hiperaktif setelah disahkan oleh doktor yang pakar dalam bidang itu, maka cari ubatan yang tidak meninggalkan kesan yang buruk." 

Jika tidak, janganlah diseksa anak itu dengan ubat yang tidak perlu dia ambil. Ubat yang paling mujarab untuknya adalah memberi dia ruang bermain lasak dan aktif setiap hari.
Jika keterlaluan aktifnya, kurangkan gula dalam pemakanannya dan elakkan minuman bergas. Bacalah lebih mendalam mengenai keadaan hiperaktif ini.

Mengapa saya membawa kisah ini? Pertama, kerana perkataan atau terminologi hiperaktif ini terlalu mudah digunakan tanpa kefahaman yang jelas.  Apabila melihat anak tidak tahu duduk diam, cepat sahaja dia dikatakan hiperaktif. Perkataan itu digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami kesan psikologi kepada anak itu.

Perkataan hiperaktif membawa kesan negatif, seolah-olah satu penyakit dan suatu yang tidak disukai. Bayangkan seorang anak yang aktif digelar hipeaktif, bagaimana agaknya pandangannya kepada dirinya. Kita mahukan anak-anak yang berkeyakinan, tetapi kita ragut keyakinan itu dengan gelaran yang merudumkan imej dirinya.

Anak yang suka bergerak dan bermain, melompat ke sana ke mari adalah anak yang sihat dan aktif. Keaktifannya menunjukkan dia bijak dan otaknya berfungsi dengan baik serta koordinasi badannya bagus. Lagipun kita mesti ingat, badannya kecil, jadi dia tidak cepat letih bebanding kita orang dewasa yang badan besar. Kita bergerak sikit sudah letih, sebab kita perlu membawa badan yang lebih besar maka tenaga yang diambil juga lebih banyak.  Anak kecil badannya ringan dan apabila dia bergerak, dia tidak banyak memerlukan tenaga. Oleh itu untuk memastikan tenaganya digunakan dengan baik, maka dia perlu bergerak.

Bukankah kita dahulu pun begitu semasa kecil. Kita memanjat pokok, mandi sungai dan banyak lagi. Anak-anak sekarang ini terutamanya yang di bandar, kebanyakan terperangkap dalam rumah yang berjeriji. Kita perlu melakukan sedemikian demi keselamatan mereka, dalam masa yang sama jika mereka itu agak terlebih aktif. Maka fahamilah dan berilah mereka aktiviti yang dapat menggunakan tenaga mereka. 

Jika terlalu kerap disuruh duduk diam, lama-kelamaan mereka akan menjadi malas dan apa yang mereka suka lakukan makan dan bermain permainan video. Lama-kelamaan anak membesar menjadi kanak-kanak yang gemuk dan pemalas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140220/kn_02/Anak-tak-duduk-diam#ixzz3ARdPtfBd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......