Cerita pengusaha restoran mamak
Diterbitkan: Ahad 15 Mei, 2011 MYT 12:29:00 PM
Dikemaskinikan: Ahad 15 Mei, 2011 MYT 12:52:46 PM
Dikemaskinikan: Ahad 15 Mei, 2011 MYT 12:52:46 PM
Pengarah Urusan Original Penang Kayu Nasi Kandar Bhd (Kayu Nasi Kandar), Burhan Mohamed, 49, berkata, penggunaan nama nasi kandar sekadar pilihan tidak membezakan dengan mana-mana restoran mamak yang lain.
“Setiap pengusaha mempunyai cara tersendiri untuk memasarkan perniagaan mereka. Namun Kayu Nasi Kandar hanya memperkenalkan yang asas terutama nasi kandar.
“Tidak dinafikan nama itu begitu sinonim dengan restoran mamak kerana sudah menjadi identiti sejak dahulu bahkan ia juga menjadi pelaris di pasaran,” katanya.
Bagaimanapun, perniagaan yang dipelopori oleh keluarga Burhan semakin menguntungkan sehingga beralih untuk memiliki restoran sendiri pada 2004.
“Sudah lebih 38 tahun saya menceburkan diri dalam perniagaan makanan ini. Kayu Nasi Kandar yang dahulunya hanya sebuah gerai kini mempunyai tujuh cawangan.
“Lambakan restoran mamak di pasaran tidak menjejaskan perniagaan kerana asas makanan menjadi kekuatan namun dipelbagaikan mengikut peredaran masa,” katanya.
“Kayu Nasi Kandar tidak mengetengahkan makanan Asia lain seperti tom yam atau hidangan dari Barat. Nasi Kandar kekal sebagai identiti kami.
“Persaingan tidak semestinya perlu mengubah konsep sedia ada tetapi memfokuskan kepada peningkatan kualiti operasi, premis dan perkhidmatan,” katanya.
MENJADI antara restoran mamak yang beroperasi paling lama bukannya mudah namun pada usia separuh abad, Restoran Bilal masih mampu bertahan sehingga kini.
Pengurusnya, Mohamed Hussain Mohd Ghouse, 50, berkata, Restoran Bilal mula beroperasi pada 962 dan menjadi pelopor kepada restoran mamak ketika itu.
“Kami sangat terkenal dengan makanan dari Selatan India. Pelanggan tidak putus-putus datang menikmati sajian istimewa iaitu Nasi Briyani dengan Ayam Ayavadi.
“Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai bangsa malah menyediakan perkhidmatan makanan kepada beberapa restoran lain kerana sambutan amat menggalakkan,” katanya yang sudah berkhidmat dengan Restoran Bilal selama 28 tahun.
Pada masa ini, Restoran Bilal mempunyai dua cawangan iaitu di Jalan Ampang dan Jalan Tunku Abdul Rahman, masing-masing di Kuala Lumpur.
Mohamed Hussain berkata, restoran tersebut sebelum ini mempunyai dua cawangan lain di Jalan Ipoh dan Seremban namun terpaksa ditutup kerana kekurangan pekerja.
“Bukan mudah untuk kekal seperti sekarang. Kami berhadapan dengan masalah mendapatkan pekerja dan tiada kemudahan letak kereta untuk pelanggan.
“Kemunculan restoran-restoran mamak yang lebih besar dan moden pada hari ini turut memberi kesan kepada perniagaan kami,” katanya yang mengakui bilangan pelanggan menyusut lebih 50 peratus berikutan persaingan dan kekangan lain.
“Bukan semua orang mahu sesuatu yang baru. Ada juga yang menyukai sesuatu yang asli dan setia mengikuti makanan di Restoran Bilal sejak bertahun-tahun.
“Kami tidak menggunakan konsep makanan segera seperti kebanyakan pesaing lain, sebaliknya mengamalkan hidangan seperti di rumah,” kata Mohamed Hussain.
Masyhur dengan 27 cawangan
PELITA Nasi Kandar bukan sahaja masyhur malah mempunyai rangkaian terbesar di Malaysia dengan 27 cawangan.
Bermula dengan perniagaan warung di Taman Chai Leng, Prai, Pulau Pinang pada Jun 1995, kepakaran Kirudu Mohamed Kuppaikanni yang lebih popular sebagai Abang KK dan Kaliq Jamal yang mesra dengan sapaan Pak Misai dalam penyediaan nasi kandar telah menyebabkan nama Nasi Kandar Pelita tersebar dengan cepat di kalangan penduduk setempat.
“Abang KK adalah orang pertama yang memperkenalkan ‘kuah campur’ di restorannya di Tamil Street. Dia juga pakar dalam campuran kuah menjadikan sajian ini sukar dilupakan,” kata Pengarah Operasi Pelita Samudera Pertama (M) Sdn Bhd Sihabutheen K.K.
Sihabutheen berkata, kejayaan restoran ini terhasil apabila ilmu generasi lama dipadankan dengan inovasi perniagaan dan strategi pengurusan yang mantap.
Abang KK mempunyai 40 tahun pengalaman dalam memasak nasi kandar manakala Pak Misai berpengalaman selama 34 tahun.
“Generasi baru peniaga India Muslim hari ini berjaya mengubah bisnes tradisi berskala kecil ke industri bernilai jutaan ringgit,” katanya.
Menurut Sihabutheen, pihaknya sentiasa mengikut kehendak pelanggan bagi memastikan Pelita Nasi Kandar terus maju.
Antara lauk-pauk popularnya termasuklah kari ikan, kambing ros, ketam masala, ayam madu dan sotong goreng.
Selain memberi sumbangan besar dalam industri makanan negara, restoran ini turut mencerminkan identiti positif Malaysia apabila berjaya membuka cawangannya di Chennai, India.
Tak lupa kebajikan
PENGASAS Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali yang mempunyai 14 cawangan restoran di sekitar Selangor dan Lembah Klang berkata, disiplin dan komited adalah rahsia kejayaannya dan digunakan sehingga hari ini.
“Tahun 1993 saya berhijrah ke Kuala Lumpur bersama isteri untuk buka bisnes. Selepas setahun timba pengalaman berniaga dengan abang saudara, saya buka cawangan pertama di Wangsa Maju.
Jawahar meminjam RM100,000 daripada rakannya sebagai modal permulaan dan mendapat sokongan ahli keluarga dalam membina empayar perniagaan.
Mementingkan servis, kualiti makanan, harga patut dan kebersihan dalam menjalankan operasi perniagaan, faktor ini telah membina kepercayaan pelanggan.
“Saya letak peti cadangan dan nombor telefon di setiap restoran. Kalau ada aduan atau cadangan, saya orang pertama yang dapat tahu. Kaedah ini sangat berkesan untuk penuhi kehendak pelanggan,” katanya.
Lebih membanggakan, beliau tidak pernah lupa membuat kebajikan dan menghulurkan khidmat sosial kepada mereka yang memerlukan walau bergelar usahawan berjaya.
Sumber :
http://www.mstar.com.my/artikel/?file=/2011/5/15/mstar_mingguan/20110515122815
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......