Selasa, 11 Februari 2014

NoRaInI's CoOkIeS DaRi InDuStRi KaMpUnG Ke PeRsAdA GlObAl

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Dua puluh enam tahun lalu Noraini Ahmad merupakan seorang petugas firma insurans di siang hari dan menguruskan perniagaan bakeri Noraini's Cookies di rumahnya pada sebelah malam.

Beliau mengupah suri-suri rumah di kawasan kejiranannya untuk membantu membuat pelbagai kuih-muih tradisional Melayu dan konfeksi yang beliau kemudian bekalkan kepada kafeteria serta kantin sekolah. Perniagaan sampingan ini membolehkan beliau meraih purata pendapatan RM4,000 sebulan.

Bakat beliau dalam membuat kuih menarik perhatian seorang chef hotel yang kemudian menempah kuih-muihnya untuk hotel itu. Selepas itu, hotel-hotel utama lain, restoran serta pasar raya turut ikut serta. Produk Noraini juga menjadi juadah di konvensyen tahunan Umno di PWTC. Pada masa itu beliau mendapat pulangan sehingga RM20,000 sebulan.

Apabila beliau mula menerima tempahan bagi kuih-muih Melayu dan biskut untuk sambutan Hari Raya, Noraini membuat keputusan berhenti kerja dan menumpukan perhatian sepenuh masa kepada perniagaan.

BERALIH KEPADA KUIH MUIH MUSIM PERAYAAN

Pada 1994 Noraini melabur RM25,000 untuk memperbadankan Noraini Enterprise Sdn Bhd, yang membuat kuih-muih dan biskut khusus untuk musim perayaan di sebuah rumah kedai berdekatan pasar malam Paya Jaras di Sungai Buloh.

Produknya boleh dikatakan dibekalkan kepada hampir semua penjual tepi jalan di Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman setiap Ramadan. Syarikat ini mencatatkan pulangan sebanyak RM70,000 di musim perayaan pertamanya.

Perniagaan beliau terus meningkat maju dan pada 1997 kilang syarikatnya berpindah ke Kampung Sungai Pelong di daerah Petaling. Bagaimanapun, tidak sampai setahun kemudian perniagaannya dilanda musibah akibat kegawatan ekonomi. Jualan merudum teruk. Noraini terpaksa bertungkus-lumus untuk menyelamatkan perniagaannya tetapi akhirnya operasi syarikat terhenti sementara.

Bagaimanapun, di sebalik musibah ini muncul pula peluang baru. Untuk mencari rezeki hidup, Noraini membuka sebuah gerai di Plaza Angsana di Johor Baharu yang menjual kuih muih dan konfeksi. Usaha beliau ini menerima sambutan baik dengan hasil jualannya mencecah hampir RM1,000 setiap hari.

Selama empat tahun yang berikut perniagannya itu terus meningkat maju dan ia turut membabitkan sebuah restoran khusus menjual pelbagai jenis laksa dan masakan Melayu tradisional. Sementara itu, kilang cookies dan biskut di Selangor kembali beroperasi. Kedua-dua perniagaan berkembang pesat - kilang ini menyaksikan pulangan RM150,000 setiap musim sementara perniagaan di Johor Baharu diperluas kepada 17 buah gerai meliputi seluruh Lembah Klang dan juga sehingga Ipoh.

MENGORAK LANGKAH KE PERSADA GLOBAL

Bagaimanapun hasil bulanannya tidak lagi meningkat memandangkan pasaran tempatan sudah tepu. Beliau kemudian memutuskan untuk menceburi perniagaan di luar negara. Pada 2004 beliau menubuhkan Noraini Cookies Worldwide Sdn Bhd dan menjenamakan produknya selain memasarkannya dalam bungkusan yang lebih menarik bersama logo rasmi syarikat.

Pihak pengurusan syarikat mengambil bahagian dalam pelbagai program latihan, dan kempen promosi perniagaan tempatan dan antarabangsa yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Mara, MeCD, Fama, dan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd (Komita).

Syarikat ini turut menyertai pameran antarabangsa seperti MAHA, MIHAS dan acara yang dianjurkan oleh Malaysia Trading House di United Kingdom, produk beliau menembusi pasaran Singapura, Brunei, Laos, Myanmar, Kemboja, Vietnam, United Kingdom, Mauritius, Afrika, Nigeria, Mahgribi dan Dubai.

Nasib menyebelahi usahawan yang bertekad tinggi ini, dan pada sesi sepadanan perniagaan MIHAS 2006, seorang perwakilan dari Kazakhstan menunjukkan minat untuk menjalin usahasama. Ini membawa kepada sebuah usahasama dikenali sebagai Atamekent Noraini, yang mempunyai pelaburan dalam pengeluaran makanan, ladang tenusu dan gandum, serta perniagaan hotel dan restoran di Kazakhstan. Restoran Astana Nura menawarkan pelbagai laksa Malaysia kepada warga Kazakhstan.

Sementara itu, berbalik ke Malaysia, jualan bermusim mencecah RM1.5 juta pada 2007 dan seterusnya meningkat kepada RM2 juta pada musim berikutnya. Banyak tempahan baru dan tempahan berulang diterima yang bermakna pengeluaran perlu dipertingkat dan memerlukan sebuah permis perniagaan yang lebih besar serta peralatan yang lebih baik. Oleh itu pada 2008, syarikat Noraini's Worldwide Cookies milik Noraini memperoleh sebuah lot kilang dua tingkat dan sebuah ketuhar automatik sepenuhnya.

"Walaupun ketuhar kami boleh menghasilkan tiga tan biskut setiap hari, kami kini beroperasi pada separuh kapasiti memandangkan kami kekurangan petugas pengeluaran," kata Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan Dr Helmee Effendee yang juga merupakan anak sulung Noraini.

Worldwide Cookies milik Noraini merupakan antara sembilan perusahaan makanan Malaysia yang dijemput oleh Matrade untuk mempamer produknya pada `2010 New York Fancy Food Show(NYFFS), Jun lepas.

Pada acara tiga hari itu yang merupakan pintu terbaik ke pasaran Amerika Syarikat, syarikatnya menerima banyak pertanyaan daripada peniaga dari daerah Chinatown di New York, selain daripada Asia Barat, Kanada, Panama dan Jordan, yang mencari sumber produk makanan halal bagi pasaran masing-masing. Noraini kini berusaha untuk memastikan pertanyaan ini berakhir dengan tempahan.

CONTOH BAIK BAGI USAHAWAN BUMIPUTERA

Hajjah Noraini merupakan contoh baik bagaimana usaha gigih; yang diperkuat dengan komitmen dan dedikasi berterusan; dan dilengkapi dengan pandangan jauh, inovasi serta penyesuaian; usahawan dengan jati diri yang tinggi boleh menukar perasaan minat kepada wawasan dan seterusnya memastikan segala usahanya berhasil.

Berdasarkan pencapaian cemerlangnya, Dewan Perniagaan Melayu memberikan 'Anugerah Usahawan Warisan 2006' kepada beliau.

Hajjah Noraini turut memenangi 'Anugerah Usahawan Berdaya Maju MIHAS 2007' dan juga Pingat Gangsa daripada Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) pada 2007 di bawah kategori 'Penjenaman Usahawan Malaysia bagi Pasaran Eksport'.

Laluan beliaui yang penuh onak, duri dan ranjau daripada industri kampung ke penggiat global dicatatkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia(MPC) dalam terbitannya bertajuk 'Case Book on Transformation, Innovation and Partnership'. Buku ini menjadi bahan rujukan bagi para usahawan baru Bumiputera.

KUMPULAN SYARIKAT NORAINI

Selain daripada perkongsian bersama Kazakhstan, kumpulan syarikat Noraini kini terdiri daripada Noraini's Enterprise Sdn Bhd (anak syarikat di bawahnya Noraini's Fresh Baked, Noraini's Laksa Paradise dan Noraini's Noodles; Noraini's Cookies Worldwide Sdn Bhd (bersama operasi secara perkongsian di Pulau Batam dan Bandar Raya Ho Chi Minh); Noraini's Marketing Sdn Bhd; Noraini's Farm House Sdn Bhd; Noraini's Frozen Food Sdn Bhd; Noraini's Food and Beverage Sdn Bhd; dan Magnificent Solution, yang merupakan sayap penyumberan luar Kumpulan.

Dalam memastikan produknya daripada kualiti tertinggi, Noraini's Worldwide Cookies berpegang kepada moto pengasas: Tiada bahan aditif; Organik; Diiktiraf Di peringkat Antarabangsa; Proses Perkilangan Canggih; Produk Islam; Berkhasiat; Resipi Lebih Baik; dan Keselamatan Terjamin.

* Noraini's Worldwide Cookies merupakan antara 2,000 usahawan asas tani dari 22 negara yang sedang mempamer produk serta khidmat masing-masing pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA 2010) yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 5 Dis.


Sumber : http://web6.bernama.com/client/fama/exclusivebm.php?lang=&id=545665 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......