Khamis, 27 Mac 2014

BiLa TuHaN SeDaNg MeNdUgA

Menghadapi kehilangan orang tersayang dalam masa berturut bukan sahaja membuat hati saya tidak bermaya, tetapi menyebabkan minda saya menerawang jauh. Saya bagaikan terkesima. Bukan tidak redha dengan ketentuan Allah tetapi kenangan bersama orang-orang tersayang ini membuat hati mudah tersentuh dan air mata pun mudah mengalir.Namun yang pergi tetap pergi. Mereka tidak akan kembali menemui saya dan saudara mara yang ditinggalkan. Kenanganlah yang menjadi pengubat rindu.



Pengalaman pahit ini biarpun sukar untuk diucapkan dengan kata-kata tetapi hati yang merana pasti tidak dapat berbohong. Ketika saya kehilangan bonda tahun lalu, dunia terasa begitu sunyi. Kegembiraan bagaikan direntap tetapi bapa saudara yang menjadi wakil ayah mampu menceriakan semula kehidupan. Tetapi akhirnya dia juga menemui Tuhan. Saya kembali sepi. Wajah dan tawanya terbayang di mata. Nasihatnya yang tidak pernah jemu-jemu diasak ke minda ini masih terdengar-dengar di telinga. 

SEBESAR MANA PUN KASIH KITA SESAMA MANUSIA, IA TIDAK AKAN MAMPU MELAWAN KASIH TUHAN KEPADA HAMBA-NYA. DIA YANG MENDATANGKAN KITA KE ALAM INI, DAN DIALAH YANG LEBIH BERHAK MENGAMBILNYA SEMULA APABILA TIBA MASA YANG DITETAPKAN-NYA. DAN MASA ITU TIDAK AKAN PERNAH TERLEWAT ATAU TERCEPAT WALAU SEMINIT PUN. TIDAK KIRA BETAPA USIA KITA KETIKA ITU, SAMA ADA SUDAH MENJADI PELEPAH TUA ATAUPUN MASIH BARU BERPUTIK.


Saya belajar menjadi tabah dan menerima ketentuan Allah ini. Cepat ataupun lambat, kita pun suatu hari nanti akan ke sana jua. Sementara masih di sini marilah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri. Memberikan yang terbaik untuk kehidupan kita dan kehidupan orang lain. Kita ambil kebaikan daripada orang Jepun yang menganggap bahawa kehidupan ini bagaikan bunga sakura yang kehidupannya hanya seminggu. Kerana itu mereka berlumba-lumba untuk maju dan memperbaiki diri menjadi lebih baik setiap hari. Seperti bunga sakura itu,ia menjadikan kehidupanya yang singkat untuk mengindahkan alam ini dengan kecantikan dan keharumannya. Kita pun harus hidup seperti itu. Hidup dengan penuh kebaikan dan kemuliaan.

Luruskan pedoman dan tetapkan iman. Tuhan kita hanya satu dan kepadanya kita akan menuju.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......