Selalu kita mendengar orang berkata, ‘gaji yang aku dapat sikit sangat, cukup-cukup sampai hujung bulan, memang tidak tahulah apa lagi yang boleh dibuat’. Adakah mereka faham dengan apa yang dimaksudkan mengenai rezeki berkat?
Hmmm..’bilalah mahu ada rezeki yang banyak’. Keluhan seperti ini ibarat debu yang melekat pada hati.
Tidak benar jika mengatakan bahawa rezeki dalam bentuk wang itu tidak cukup. Sebenarnya di dalam dunia realiti, ada perkara yang kita tidak sedari. Pelbagai jenis rezeki datang tanpa kita pinta. Kesihatan tubuh badan ialah rezeki tanpa pinta.
Dengan kesihatan tubuh badan kita membawa pula kita kepada rantaian rezeki berkat yang lain seperti boleh makan, boleh melakukan kerja, boleh bersenam dan seumpama dengannya. Oleh itu, sebagai hamba Allah kita sudah ditetapkan dengan sistem rezeki masing-masing.
Kita lihat contoh si penerima gaji sedikit.
Jika wangnya cukup-cukup sehingga habis bulan maka Allah telah mencukupkan rezeki kepadanya. Ternyata andaian si penerima gaji sikit tadi tidak benar tentang ‘tidak cukup’.
Cuba kita bayangkan jika bos kepada si penerima gaji itu yang gajinya tidak cukup. Ada sahaja hutang yang perlu dibayar. Hutang kad kredit, ansuran perabut, ansuran kereta dan seumpama dengannya.
Namun atas dasar kasih sayang Allah, ada sahaja projek baru dan tender untuk beliau supaya hutangnya dapat dijernihkan sedikit demi sedikit. Begitulah Allah mencukupkan rezeki kita melalui pekerjaan. Ada manusia yang sumber rezekinya daripada guru, tukang perabot, jurulatih senaman dan seumpamanya. Jika ditulis jenis pekerjaan didunia ini maka tidak terhitung pen dan kertas kita.
Begitulah Allah memberikan rezeki berkat kepada kita. Allah mengikatnya dengan pelbagai jenis pekerjaan. Justeru, rantai kepada rezeki berkat pekerjaan halal adalah dengan kesungguhan dalam kita melakukan pekerjaan.
Apabila kita melakukan pekerjaan dengan sungguh-sungguh maka Allah sungguh-sungguh membantu kita dengan memberikan rezeki berkat. Sebaliknya jika kita sambil lewa maka Allah juga tidak segan untuk sambil lewa dengan kita.
Kesimpulannya, rantai rezeki berkat dari pekerjaan halal adalah dengan melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh. Apabila kita bersungguh Allah akan memberi kita rezeki yang tiada kesudahan.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” (Ibrahim 14:7)
Sumber : http://www.resepikejayaan.com/motivasi/rantai-rezeki-berkat-pekerjaan-halal/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......