Khamis, 28 Ogos 2014

JM BaRiAnI 20 TaHuNM KuKuH Di PaSaRaN


 
RESTORAN JM Bariani House (JM Bariani) bukanlah asing bagi penduduk Lembah Klang. Bagaimanapun, untuk berada di tahap sekarang, pelbagai rintangan ditempuhi oleh pengusahanya yang juga  Pengarah Urusan JM Bariani House Sdn Bhd, Zulkarnain Mustapa.

Menceritakan detik awal berkecimpung dunia perniagaan, selepas tamat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal 1980 an, Zulkarnain membantu kedua ibu bapanya berniaga.  

Zulkarnain berkata, ia bermula apabila dia sekeluarga berpindah ke Shah Alam, Selangor.

“Ibu memberanikan diri menjual karipap, mi rebus dan air batu campur di depan rumah. Sebagai anak sulung, saya menjaga kedai tersebut. Pada sebelah pagi pula saya akan berniaga di bangunan SUK Selangor.

“Saya jual nasi lemak dan pelbagai jenis kuih.Pada waktu itu, pendapatan yang diterima tidak mewah,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.



Berjinak- jinak dengan katering

Setelah beberapa bulan berniaga di Selangor, mereka mula menerima tempahan katering nasi beriani secara kecil-kecilan daripada kenalan bapanya. selain menerima tempahan daripada kawan-kawan terdekat, saudara- mara dan jiran tetangga.

“Mak dan ayah saya memasak nasi beriani guna resipi sendiri. Saya hanya membantu menjaga tempahan katering di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta ke pasar membeli bahan mentah.

“Segala adunan masakan nasi beriani hasil air tangan mereka dan sehingga ke hari ini rasanya masih sama. Kami mahu mengekalkan hasil adunan air tangan arwah ayah dan ibu kerana ia mempunyai nilai tinggi kepada kami sekeluarga,” katanya.

Katanya, kini nasi beriani JM Bariani dikenali di seluruh negara dan mempunyai 23 francais sekitar Lembah Klang.

Beroperasi di Subang Jaya

Setelah mendapat sambutan, Zulkarnain memikirkan masa depan perniagaannya.

“Kami ambil keputusan beroperasi di Subang Jaya dengan menyewa premis dua tingkat milik Uda Holdings Bhd selepas 10 tahun beroperasi dari rumah. Kami jadikan ruang belakang sebagai dapur dan ruang atas sebagai tempat tinggal kami sekeluarga.

“Kami buka restoran depan premis itu. Restoran pertama dinamakan Jamilah Mustafa dan dipendekkan menjadi JM Bariani House. Mulanya kami hanya jual nasi beriani kambing, nasi beriani ayam, nasi beriani daging dan nasi beriani gam,” katanya.

Zulkarnain berkata, dia bermodalkan RM60,000 yang juga simpanan sendiri.

“Di peringkat permulaan, saya peruntukkan sewa premis RM1,800, membeli periuk, kuali, dapur, kerusi dan meja dengan harga murah.

“Saya menghias restoran sendiri. Kami boleh berjimat kerana ayah dan ibu menjadi tukang masak manakala dua adik saya Abdul Hafiz Mustafa terlibat dalam pemasaran dan pengurusan manakala bongsu, Zul Atfi terlibat dalam teknikal dan menjaga kualiti.

Zulkarnain berkata, namun restoran tidak mendapat sambutan.

“Mungkin lokasinya di hujung jalan dan masih kurang dikenali. Keadaan itu tidak mematahkan semangat saya.

“Restoran tetap beroperasi.Pada waktu itu, kami bergantung kepada perniagaan katering. Setelah empat tahun, Alhamdulillah, restoran akhirnya dapat sambutan, “katanya.

Terlibat perniagaan francais

Selepas 10 tahun beroperasi di Subang Jaya, pada 2004, Zulkarnain membuka restoran keduanya di pasar raya Tesco, Shah Alam.

“Alhamdulillah, selepas setahun, saya dipelawa membuka cawangan di pasar raya Tesco Ampang. Tapi sambutan tidak seperti diharapkan,” katanya.

Ia berlarutan selama tiga tahun tetapi dia tetap bertahan dan cuba mencari penyelesaian.

“Kami bawa periuk dan tumis masakan di restoran itu. Bau tumis menarik perhatian orang ramai dan Alhamdulillah, percubaan itu berjaya,” katanya.

Sejak itu, katanya, restoran JM Bariani Ampang sentiasa dipenuhi pelanggan dan hasilnya mengatasi kerugian sebelum ini.

Cabaran sebagai pembakar semangat

“Saya berdepan masalah kewangan, restoran hampir tutup dan pelbagai karenah francaisi. Cabaran dihadapi tidak menjadikan saya terus meninggalkan perniagaan keluarga ini.

“Saya berada sejak mula kami berniaga, sudah pasti saya mahu memastikan ia terus maju.

“Kini, saya mempunyai lima restoran sendiri iaitu di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang, Kota Damansara, Subang Parade, TTDI Shah Alam dan 17 cawangan francais melibatkan Bumiputera,” katanya.

Keistimewaan JM Bariani House

JM Bariani House mempunyai 23 cawangan tetapi hampir kesemuanya mengambil makanan dari ‘central kitchen’ Subang Jaya. Di situ, terdapat hampir 30 periuk besar untuk memasak makanan JM Bariani.

Zulkarnain berkata, rempah ratus JM Bariani didatangkan khas dari Johor dengan mengadunkannya sendiri.

“Semua francaisi akan mengambil makanan mereka di sana. Pengurus setiap restoran akan memastikan jumlah yang diambil mencukupi.

“Kadang-kadang mereka akan mengambil makanan beberapa kali pada setiap hari," katanya.

Menurutnya ‘central kitchen’ ini bermula jam 8 pagi sehingga enam petang. Sekiranya ada tempahan katering, operasi akan bermula lebih awal.

Setakat ini, hampir 100 menu disediakan di cawangan JM Bariani antaranya beriani biasa pelbagai lauk, mi bandung, mi rebus, rojak, nasi goreng dan kacang pol. Antara paling digemari pelanggan adalah kambing goreng.

“Hanya di beberapa restoran mempunyai makanan ala carte seperti di Tesco Shah Alam dan Tesco Ampang mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Setakat ini, JM Bariani mempunyai 40 pekerja di bahagian dapur, 120 pekerja di cawangannya dan seramai 40 orang di bahagian depan.



Perancangan pada masa depan

Setelah 20 tahun beroperasi, Zulkarnain berkata, JM Bariani House mempunyai pelbagai perancangan.

“Kami rancang menambah cawangan baharu dan beroperasi di seluruh negara dengan memastikan sistem ‘central kitchen’ boleh menampung perniagaan sejuk beku yang akan dilaksanakan.

“JM Bariani sedang buat penyelidikan dan pembangunan makanan kami. Kami juga menjadikan cawangan baharu kami di Indonesia yang akan dibuka pada Oktober depan sebagai prototaip. Kami rancang menembusi pasaran di Australia, China dan Arab Saudi,” katanya.

Tambahnya, JM Bariani juga akan membuat makanan sejuk beku menggunakan peralatan dari Jerman dan bakal membuka kilang di Puchong, Selangor pada awal tahun depan.

Selain itu JM Bariani House akan mengembangkan perniagaannya ke Medan, Indonesia Oktober ini menerusi perkongsian dengan PT Royal Bariani Berjaya.

“PT Royal sebagai francaisor induk di Indonesia dan ia kerjasama strategik untuk memantapkan pasaran  antarabangsa. Kami juga akan mengembang operasi di Malaysia dengan memperkenalkan perkhidmatan kereta sorong konsep bergerak untuk menjual makanan
bawa pulang yang akan dimulakan di gedung membeli-belah tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, buat permulaan lima kereta sorong akan diletakkan di kompleks membeli-belah di sekitar Lembah Klang, dijangkakan pada tahun ini.

Tambahnya, strategi perniagaan baharu itu dijangka meningkatkan pendapatan syarikat sebanyak 25 peratus daripada RM15 juta dicatatkan tahun lepas.

“Kami akan buka dua restoran baharu dan sehingga kini kami memiliki 17 restoran di Lembah Klang.

“Kami juga rancang menjual produk segera di pasar raya dan mengukuhkan jenama di peringkat antarabangsa dalam industri makanan halal,” katanya.

Menurutnya, dia berhasrat membuka kafe yang menyediakan dan menjual makanan tradisional, " Mak Milah Kafe" pada masa akan datang.
 
Sumber : 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KoMeN JaNgAn TaK KoMeN .... KoMeN YaNg JuJuR ItU LeBiH BaIk ......